Al-Quran - Wasilah untuk Ingat dan Diingati oleh Allah سبحانه و تعالى - Maulid MTDM Sept. 2015

بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم 

Majlis Ta'lim Darul Murtadza Maulid Bulanan Sept. 2015



Tausiyah 1: Syeikh Abdul Rahman Al-Fattani* (dari Pattani, Thailand)
Tidak ingin beri nasihat tapi hadir untuk ambil barakah bersama keluarga, dan biasa mengikuti melalui YouTube. Semoga kita sama-sama hadir untuk dengar ilmu dan beramal dengannya. Mohon doakan kami dapat berdakwah di Pattani.


Tausiyah 2: Habib Abu Bakar bin Salim bin Aqi*l (dari Makkah)
Terjemahan oleh Ustaz Ahmad bin Shahdan
Rakaman Majlis Ta'lim Darul Murtadza: https://youtu.be/nTiVvF3ciqs

//Pembukaan dengan pujian-pujian kepada Allah, selawat dan salam dan Rasulullah ﷺ, alu-aluan sohibul majlis Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dan Habib Ali As-Saqqaf, para asatizah dan hadirin.

Tidak syak dan ragu-ragu ketika kita berada dalam majlis ini, kita bersama Rasulullah ﷺ dengan penuh ketenangan dan kasih-sayang. Rasulullah ﷺ membawa petunjuk kepada alam ini. Kita bersyukur kepada Allah سبحانه و تعالى kerana kita meghampiri Bulan Zulhijjah , bulan yang mana Nabi Muhammad ﷺ bersabda yang bermaksud :“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah”. 

Para sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga termasuk jihad pada jalan Allah ?”. Jawab Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. 

Ini menunjukkan kebesaran yang Allah سبحانه و تعالى berikan pada Rasulullah ﷺ dan kita umatnya. Kita digalakkan berpuasa pada hari Arafah, ketika jemaah haji sedang wukuf. Inilah rahmat yang Allah سبحانه و تعالى beri melalui Rasulullah ﷺ. 

Semua orang merindui kota Mekkah Al-Mukarramah. Allah سبحانه و تعالى berikan perasaan cemburu pada orang yang tidak mengerjakan haji apabila melihat orang lain pergi haji. Tapi Rasulullah ﷺ bersabda, “ Barangsiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk iktikaf sehingga waktu matahari terbit, dan kemudian solat sunat 2 rakaat (solat sunat Isyrak), maka Allah سبحانه و تعالى akan memberikan kurniaan seumpama mengerjakan haji dan umrah sempurna, sempurna, sempurna. Jadi, di sini Rasulullah ﷺ telah meletakkan satu hadiah kepada umatnya yang tidak dapat berada di Mekkah Al-Mukarramah dan juga para alim, arifbillah, orang yang dekat dengan Allah سبحانه و تعالى, mereka menganjurkan tertib (susunan) di antara waktu solat sunat Fajar sehingga solat sunat Isyrak dengan doa, zikir, wirdul lateef. 

Ketahuilah para hadirin bahawa sirah Rasulullah ﷺ membawa kita kepada salah satu makna untuk kita masuk ke syurga Allah سبحانه و تعالى. Syurga yang daripada pintu melalui Rasulullah ﷺ, maka jangan di antara kalian meninggalkan akhlak Rasulullah ﷺ. Nabi ﷺ menyuruh kita mempunyai hati yang bersih, yang tiada hasad dengki, tiada benci-membenci, tiada khianat-mengkhianati antara satu sama lain. Allah سبحانه و تعالى mengajar kepada Nabi Muhammad ﷺ, “Sesungguhnya Allah سبحانه و تعالى tidak melihat kepada rupa parasmu tapi melihat hati dan amal perbuatanmu.” 

Oleh sebab itu, kita lihat Nabi Muhammad ﷺ meletakkan hati manusia, hati umat Nabi Muhammad ﷺ supaya bersih dari segala-galanya. Hati ini seumpama bekas - bagaimanakah isinya? Adakah isinya hasad dengki? Khibir? Ego? megah? Itu semua Nabi ﷺ telahpun beri peringatan - “Tidak akan masuk syurga orang yang ada perasaan khibir (sombong) walaupun sebesar zarah sekalipun.”

Hari ini kita lihat berapa banyak fitnah yang berlaku dalam kalangan umat Nabi Muhammad ﷺ. Hari ni berapa orang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain? Dia merasakan orang yang zalim itu perlu dihukum dan perlu dibinasakan, maka di situ kita lihat bagaimana Nabi ﷺ mengingatkan kita untuk mengingati hidup Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ bersabda, “Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, maka Allah سبحانه و تعالى akan menurunkan rahmat kepadanya 10 kali.” Begitu juga jika menambahkan dengan selawat yang lain, maka Allah سبحانه و تعالى akan beri rahmat sebanyak-banyaknya.

Kita dalam majlis ini, kalau kita lihat berapa ramai yang hadir, mungkin di antaranya wali Allah سبحانه و تعالى atau kekasih Allah سبحانه و تعالى, kerana di dalamnya ada ramai umat Nabi Muhammad ﷺ.

Kita duduk di dalam masjls ini, berapa ramai yang berselawat ke atas baginda Nabi Muhammad ﷺ? Maka, tidaklah kita duduk dalam majlis ini melainkan nikmat dari Allah سبحانه و تعالى, nikmat keafiatan, kesihatan yang ada pada kita, bebas dari peperangan, bebas dari hasad dengki, bebas dari perbalahan. Wajib kita bersyukur kepada Allah سبحانه و تعالى kerana kita tidak mendapat musibah sepertimana yang dikenakan kepada hamba Allah سبحانه و تعالى yang lainnya.

Khususnya kepada kamu yang hadir dalam majlis ini, saya ingin memberikan sedikit nasihat iaitu 4  perkara: 
  1. Istizaan, iaitu sentiasa meminta izin
  2. Isti’ghzar - iaitu sentiasa meminta keuzuran (minta maaf)
  3. Tasamuh - iaitu memaafkan orang lain
  4. Syukur kepada Allah سبحانه و تعالى dan berterima kasih kepada orang lain
Dalam hadis disebutkan - Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah سبحانه و تعالى. 

Penutup kata - kisah yang berlaku pada Sayyidina Ali bin Abi Talib. Dalam satu peperangan, beliau hampir membunuh seorang kafir tapi akhirnya beliau tinggalkan. Lelaki kafir itu pun bertanya, “Tadi kamu bersungguh-sunggu memerangiku, tapi kenapa sekarang kamu membiarkan aku setelah aku tidak dapat melawanmu lagi?”. Sebenarnya setelah jatuh, lelaki kafir itu telah meludah kepada wajah Sayyidina Ali. Jawab Sayyidina Ali, “Aku berperang kerana Allah سبحانه و تعالى. Apabila kamu meludahkan, perasaan marahku telah menjadi lebih besar daripada perasaan tentang jihadku, jadi aku takut aku bunuh kamu kerana nafsuku, dan bukan kerana Allah سبحانه و تعالى.”

Kita lihat, asalnya nak berperang pun ditinggalkan bila ada termasuk tujuan selain daripada kerana Allah سبحانه و تعالى. Berapa ramai kita yang dapat memaafkan orang lain? Kita maafkan manusia kerana Allah سبحانه و تعالى.

Berapa ramai hari ini yang meninggalkan solat berjemaah, sedangkan ini ialah perkara yang disuruh oleh Rasulullah ﷺ. “Hendaklah kamu melazimi solat berjemaah, hendaklah kamu memberikan pemberian kepada orang yang mengharamkan pemberian daripada, dan hendaklah kamu sambung silaturrahim pada orang yang memutuskannya.”

Maaf jika terpanjang tausiyah. Tapi ada satu lagi kisah buat baik pada ibubapa. Ada seseorang yang ada 6 orang anak. Daripada 6 itu, cuma seorang yang baik pada ibu bapa. Setelah ayahnya meninggal, 5 orang itu buli yang seorang dengan tidak memberikan bahagian hartanya. Yang seorang itu pun hidup susah tapi dia terus berusaha. Dia ada bermimpi yang ayahnya mengatakan tidak akan rugi orang yang berbuat baik pada ibu bapanya. Setelah lama, adik-beradiknya yang 5 orang itu menjadi faqir miskin, dan cuma dia yang seorang yang jadi orang kaya di dunia dan juga akhirat.

Wahai sekalian yang hadir ke majlis ilmu, jangan lupa berbuat baik kepada kedua ibubapamu, maka di situlah kasih sayang Allah سبحانه و تعالى. Jangan kamu datang ke majlis ini tapi kamu buat keingkaran kepada kedua ibubapa kamu, takut-takut kamu tak dapat rahmat di sisi Allah سبحانه و تعالى.

//Maaf atas kekurangan penterjemahan.


Tausiyah 3: Syeikh Niyaz* (salah seorang anak murid Habib Abu Bakar Al-Masyur)
Terjemahan oleh Syeikh Neil bin Taher
Rakaman: https://youtu.be/6BBBuMaFO5E

//Pembukaan dan kesyukuran kerana dapat berkumpul untuk sama-sama berselawat kepada Rasulullah ﷺ.

Seperti majlis begini adalah majlis yang mengingatkan kita pada kesempurnaan Sayyidina Nabi Muhammad ﷺ. Dan ketahuilah kesempurnaan baginda yang tertinggi ialah akhlaknya yang dipuji Allah سبحانه و تعالى, “Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang agung.”

Dan kita perlu belajar cara bagaimana baginda mempunyai akhlak yang mulia ini agar kita dapat  pakaikan kepada kita agar kita ubah untuk diri kita mempunyai akhlak-akhlak yang mulia. 

Dan penuntut ilmu adalah yang paling utama untuk belajar akhlak Rasulullah ﷺ. Dan apabila kita melihat sirah Sayyidina Nabi Muhammad ﷺ, kita kan melihat bagaimana akhlaknya baginda Rasulullah ﷺ. Dan salah satu sifat Nabi Muhammad ﷺ yang paling agung ialah baginda bersikap lemah-lembut terhadap para sahabatnya. Baginda juga kadang-kadang bergurau dengan sahabatnya, tapi baginda sentiasa mengikat dirinya dengan syariat Allah سبحانه و تعالى.

DIriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ merupakan seorang yang sangat banyak senyum. Maka salah seorang sahabat Nabi ﷺ iaitu Abu Darda sangat suka senyum sehingga ditanya padanya, “Kenapa engkau banyak senyum, nanti orang akan kata kamu gila.” Jawabnya, “Sesungguhnya aku tidak pernah lihat orang yang lebih banyak senyum melainkan Rasulullah ﷺ dan aku mengikutinya.”

Dan senyumannya Sayyidina Nabi Muhammad ﷺ itu cahaya, dan cahaya yang dapat memberi cahaya kepada sesiapa yang memandang kepada beliau. Seorang sahabat: Ammar bin Yassir, apabila Rasulullah ﷺ melihat beliau datang akan berkata, “Ahlan wa sahlan kepada orang yang mempunyai cahaya.” 

Dengan itu baginda Nabi ﷺ sifatnya ialah selalu suka memuji kepada sahabatnya. Selalu berlembut dan bergurau dengan sahabatnya sehingga ada sahabat yang berjoget seperti tarian zapin di hadapan baginda Nabi ﷺ. Diriwayatkan sahabat Nabi ﷺ seperti Sayyidina Ali, Sayyidina Jaafar, Sayyidina kadang-kadang membuat zapin di hadapan baginda - yang dimaksudkan dengan zapin ialah adabnya mereka di hadapan Nabi ﷺ dalam keadaan Nabi ﷺ tidak mempunyai perasaan membantah dan tenang dengan mereka. 

Dan apabila Nabi ﷺ datang, orang-orang akan bangun menyambutnya. Suatu hari, ada seorang yang datang kepada baginda, dan Rasulullah ﷺ mengambil rida’nya dan membentangkannya untuk beliau. Tapi dia berkata, “Aku tidak layak duduk di atas rida’ ini ya Rasulullah ﷺ. Engkau telah menghormati aku, semoga menghormatimu sebagaimana engkau menghormatiku.”

Akhlak Rasulullah ﷺ baik kepada yang kecil dan juga dewasa. Diriwayatkan apabila Rasulullah ﷺ pulang dari safar, baginda akan disambut oleh anak-anak kecil. Maka Nabi ﷺ akan berlembut dan bermain dengan mereka. Baginda akan sapu di atas kepala mereka, dan seronok bersama mereka. Inilah akhlak Rasulullah ﷺ. 

Dan bagi yang menuntu ilmu syariat, seharusnya kita mengambil berat akan akhlaknya Rasulullah ﷺ kepada diri kita dan manusia yang bersama kita, sehingga kita dapat barakah daripada apa yang kita pelajari. Semoga Allah سبحانه و تعالى beri manfaat daripada apa yang kita pelajari dari ilmu itu.

Majlis ilmu bukan hanya belajar ayat Al-Quran dan hadis mengetahui sirah Nabi ﷺ juga adalah ilmu. Seorang penuntut ilmu perlu menuntut ilmu dan berzikir. Daripada zikir, hadirkan Nabi ﷺ dalam zikir kita. Perkumpulan yang baik ialah perkumpulan kerana Nabi Muhammad ﷺ. Dan perkara paling agung ialah kita belajar akhlak-akhlak Rasulullah ﷺ di dalam satu perkumpulan. Dan akhlak dan sifatnya Rasulullah ﷺ tiada yang dapat menandingi.

//Doa

Tausiyah 4: Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid* 
Rakaman Majlis Ta'lim Darul Murtadza: https://youtu.be/MlmpyZZt3Sk


Kita bersyukur kepada Allah سبحانه و تعالى akan nikmat yang dicurahkan kepada kita untuk jadi tetamu kepada Allah, bersama orang yang datang untuk meraih ridho Allah سبحانه و تعالى. Alangkah bertuah dan gembiranya kita pada malam ini untuk duduk bersama orang-orang yang harapkan pemberian dari Allah سبحانه و تعالى, bersama orang yang punya hajat kepada Allah سبحانه و تعالى.

Apa yang kita lakukan dalam majlis ini ialah zikrullah, selawat kepada Rasulullah ﷺ, berdoa kepada Allah, bertaaruf dan bersilaturrahim, duduk dengan para asatizah dan ulama, dari pelbagai tempat dan negeri dan negara. Tiada seorang pun yang datang ke majlis ini untuk kepentingan diri sendirii melainkan mengharapkan Allah سبحانه و تعالى. Bukankah datangnya kita dari pelbagai tempat hanya untuk menghadiri majlis menyanjung orang yang dimuliakan Allah سبحانه و تعالى? Itu adalah matlamat utama menghadiri majlis seumpama ini - mengingati junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ melalui penyampaian yang mengingatkan kita pada Nabi teragung Nabi Muhammad ﷺ.

Bagaimana Nabi ﷺ ini tidak diingati sedangkan Allah سبحانه و تعالى di dalam Al-Quran menceritakan agar bekas tapak kaki Nabi Ibrahim عليه السلام dijadikan tempat solat. Allah سبحانه و تعالى juga menyuruh mengingati perbuatan seorang yang bukan Nabi atau Rasul iaitu perbuatan Siti Hajar mencari air untuk anaknya di antara Safa dan Marwah. Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa, “Jadikan aku dan namaku buah bibir orang-orang setelah aku.” Yakni beliau ingin diingati dan kita pun mengingatinya. Bukankah Nabi Muhammad ﷺ lebih utama untuk diingati tanpa mengurangkan kemualiaan nabi-nabi yang lain, dan Allah سبحانه و تعالى juga memuliakan baginda Nabi ﷺ lebih daripada nabi-nabi yang lain. Allah سبحانه و تعالى berfirman, “Dan kami angkat namamu, wahai Rasulullah(Nabi Muhammad ﷺ).” Jibril bertanya, “Adakah kamu tahu mankanya?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Allah dan malaikatnya lebih tahu.” Jibril pun menerangkan, “Tidak disebut nama Allah melainkan disebut juga namamu.”

Mengingati Rasulullah ﷺ dalm majlis selawat atau majlis apa pun adalah bahagian daripada mengangkat nama yang sudah diangkat oleh Rasulullah ﷺ. Ianya tidak terhad kepada sebulan sekali di tempat ini, atau seminggu sekali, atau sehari sekali, akan tetapi semampu kita mengingati Nabi Muhammad ﷺ. Perkara itu adalah bahagian daripada perkara yang diutamakan dan digalakkan kerana mengingati Rasulullah ﷺ akan menyejukkan jiwa, menenangkan perasaan dengan mengenang sejarah Rasulullah ﷺ. 

Apa yang diperdengarkan oleh Syeikh Niyaz tentang budi pekerti luhur Nabi Muhammad ﷺ adalah sebagai contoh dan teladan sejauh mana kita mengingati Rasulullah ﷺ dalam bentuk kita menteladani akan akhlak Nabi Muhammad ﷺ. Maka mengingati Rasulullah ﷺ adalah mengingati Allah سبحانه و تعالى. 

Orang yang ingat Allah سبحانه و تعالى akan diingati Allah سبحانه و تعالى. “Ingatilah Aku sentiasa, Aku ingat kepada kamu.” Oleh kerana yang demikian, Allah سبحانه و تعالى mengancam mengingatkan kepada golongan yang lupa pada Allah untuk dilupakan Allah, bukan hanya kepada Allah, tapi dilupakan kepada ke atas dirinya sendiri. Orang yang mengabaikan dirinya untuk mengingati Allah, orang yang cuai akan dirinya untuk mengingati Allah dengan ketaatan, dengan mengikuti ajaran yang dibawa Rasulullah ﷺ akan dilupakan oleh Allah سبحانه و تعالى terhadap dirinya sendiri. Demikian ancaman yang diberikan Allah سبحانه و تعالى dalam Al-Quran: 

Dan janganlah kamu menjadi golongan yang lupa kepada Allah سبحانه و تعالى, akan dilupakan Allah kamu terhadap diri kamu sendiri.”

Bila manusia dilupakan terhadap dirinya? Lupa dirinya bukan tidak ingat namanya, bukan tidak ingat kecenderungannya, bukan tidak tahu apa yang dilakukannya. Tapi dilupakan dirinya adalah dilupakan daripada melakukan perbuatan yang mendatangkan manfaat untuk dirinya sendiri, dilupakan dari melakukan ketaatan yang menyebabkan dirinya rugi dengan meninggalkan ketaatan itu. Demikian ancaman yang diberikan kepada orang yang melupakan Allah سبحانه و تعالى. 

Oleh kerana demikian, antara wasilah untuk mengingati Allah dan untuk tidak dilupakan oleh Allah ialah majis zikir, majlis maulid seperti ini. 

Surah Taha 124-126:
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”

Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".

“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku (Allah سبحانه و تعالى) (melalui solat, zikir, selawat kepada Rasulullah ﷺ, bacaan Al-Quran), yang lupa kepada Allah سبحانه و تعالى akan hidup dalam keadaan sempit,  (walaupun kaya, akan hidup dalam keadaan sakit hati dan jiwanya walaupun badannya sihat) dan Kami akan himpunkan orang yang lupakan Allah, (lalai daripada mengingati Allah) akan dibangkitkan dalam keadaan buta.” 

Maka orang itu akan bertanya, “Wahai Allah, kenapa Engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta?” 

Allah سبحانه و تعالى akan menjawab, “Datang kepada kamu ayat-ayat Kami (Al-Quran), datang kepada kamu hadis-hadis Rasulullah ﷺ, ulama menyampaikan - kamu LUPA, kamu ABAIKAN, kamu TIDAK AMBIL!Maka, hari ini juga kamu akan dilupakan untuk mendapatkan kasih-sayang daripada Allah سبحانه و تعالى.

Hadirin-hadirat yang dimuliakan Allah سبحانه و تعالى - majlis ini - sesaat kita duduk untuk mengingati Allah سبحانه و تعالى, untuk selamat daripada dilupakan Allah سبحانه و تعالى. Di antara wasilah mengingati Allah melalui majlis maulid, zikrullah dan majlis selawat, dan terutama sekali untuk selamat daripada dilupakan oleh Allah سبحانه و تعالى ialah melazimkan diri untuk bermusohabah dengan Al-Quran nul Kareem, sebagaimana firman Allah سبحانه و تعالى - Nabi Muhammad ﷺ mengeluh, mengadu kepada Allah سبحانه و تعالى dalam Al-Quran akan perbuatan yang akan dilakukan umatnya iaitu mereka mengabaikan Allah dengan mengabaikan Al-Quran. Rasulullah ﷺ bersabda kepada Allah سبحانه و تعالى, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku ini telah menghijrahkan (menjauhkan) dirinya dari Al-Quran.”

Rasulullah ﷺ mengadu tentang umatnya yang menjauhkan diri dari Al-Quran, tidak membaca Al-Quran nul Kareem. Apa nasib orang yang telah menjauhkan diri dari Al-Quran, tidak membaca Al-Quran, yang tidak memahami Al-Quran, tidak beradab ketika berinteraksi dengan Al-Quran nul Kareem? 

Terkadang ada orang membaca Al-Quran tapi Al-Quran melaknatnya disebabkan tiada penghayatan, tiada amalan terhadap apa yang diperintahkan dalm Al-Quran nul Kareem. Berdamailah dengan Al-Quran nul kareem dengan membaca serta menghayati dan mengamalkan, berinteraksi dengan Al-Quran, hidup dengan Al-Quran, mengikut panduan yang telah disediakan Allah سبحانه و تعالى dalam Al-Quran nul Kareem.

Dalam kita bersama dengan Al-Quran untuk mengingati Zat yang menurunkan Al-Quran, kita telah diberikan pelbagai contoh kisah tentang para sahabah r.a. Al-Quran bukan hanya kitab bacaan tapi kitab amalkan apa yang kita baca di dalamnya. Berinteraksi dengan Al-Quran - orang yang faham isi kandungan Al-Quran dan mengamalkan ada yang diperintah Allah dalam Al-Quran, maka dia takkan terganggu kehidupannya dalam keadaan susah atau senang, aman atau kacau. Dengan Al-Quran nul Kareem, hubungannya berada dalam keadaan kukuh dan kuat, tidak terombang-ambing dengan kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Pentingnya untuk berinteraksi dengan Al-Quran. 

Sayyidina Abu Bakar As-Siqqiq diturunkan satu ayat yang mengajarkan kita bagaimana berinteraksi dengan Al-Quran - meninggalkan keinginan kita demi keinginan Al-Quran! Meninggalkan apa yang kita suka demi apa yang Allah سبحانه و تعالى suka.

Sayyidina Abu Bakar biasa memberikan sedekah kepada ahli keluarganya bernama Mistoh. Suatu hari beliau mendengar Misthoh mentohmah anaknya Siti Aisyah menakukan perbuatan yang haram. Sayyidina Abu Bakar pun bersumpah untuk tidak memberi lagi kepada kerabatya itu. Dalam keadaan marah, Sayyidina Abu Bakar mencari ubat/penawar di dalam Al-Quran - ini supaya kita mengambil teladan yang serupa agar mencari Al-Quran ketika menghadapi cabaran dalam hidup.

Ketika Sayyidina Abu Bakar bersumpah untuk tidak memberi lagi, turun ayat:
“Janganlah sesekali orang yang mempunyai kelebihan harta yang diberikan Allah untuk tidak memberi kepada keluarganya. Tidakkah mereka mahu mendapatkan keampunan daripada Allah سبحانه و تعالى?”

Ini tawaran daripada Allah سبحانه و تعالى kepada Sayyidina Abu Bakar dan sesiapa yang mahu meniru perbuatannya. Bilamana berhadapan dengan orang atau keluarga sepertimana pesanan Habib Abu Bakar At-Tasamuh untuk kita saling memaafkan satu dengan yang lain. Setelah mendengar firman Allah سبحانه و تعالى menegur perbuatannya, Sayyidina Abu Bakar berkata, “Saya mahu pengampunan Allah سبحانه و تعالى.” Yakni azamnya untuk tidak memberi nafkah lagi kepada Mistoh dibatalkan, walaupun Mistoh melakukan perkara yang melukakan Sayyidina Abu Bakar, dan menodai kehormatan keluarga Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq. Sumpahnya digantikan dengan kafarah dan pemberian diteruskan kepada Misthoh. 

Begini sikap Sayyidina Abu Bakar kepada orang yang menyakiti perasaannya, yang menodai kehormatan hatinya dan anaknya yang juga isteri Nabi Muhammad ﷺ. Namun, permasalahan tidak boleh diukur dengan emosi, tidak boleh disikapi dengan apa yang kita mahu tapi mesti diukur dengan apa yang Allah mahu.

Firman Allah dalam hadis Qudsi, “Hamba-Ku, kamu punya kemahuan, Aku pun punya kemahuan. Kalau kamu serahkan apa yang kamu kehendaki kepada apa yang apa yang Aku kehendaki, Aku penuhi kehendak kamu. Kalau kamu berpaling daripada apa yang Aku kehendaki kepada kehendak Aku, tiada akan berlaku kecuali kehendak Aku juga.” 

Abu Talhah merupakan sahabat yang memiliki banyak harta, dan salah satu yang paling disayanginya ialah kebun Bairuha, yang mana Rasulullah ﷺ sendiri suka singgah untuk minum airnya yang sejuk. Ketika turun firman Allah سبحانه و تعالى : “Kamu takkan sampai pada darjat kebajikan kecuali kamu sedekahkan barang milik kamu yang paling kamu sayangi.”

Tengok bagaimana interaksi mereka dengan Al-Quran? Tidak disebut ayat-ayat yang menggalakkan sesuatu perkara melainkan mereka bersaing untuk mendapatkan apa yang ditawarkan oleh Allah سبحانه و تعالى. Abu Talhah setelah mendengar ayat ini datang kepada Rasulullah ﷺ dan menyerahkan Bairuha, hartanya yang paling disayangi. Kata Rasulullah ﷺ - “Itu adalah perniagaan yang sangat menguntungkan”. Dan Rasulullah ﷺ menyuruh harta itu diwaqafkan kepada ahli keluarganya. Demikian interaksi para sahabat dengan Al-Quran.

Berapa masalah yang kita hadapi dalam dunia ini - dengan keluarga, kewangan, sahabat - dimanakah kita mencari penawar? Carilah penawar di dalam Al-Quran nul Kareem kerana di dalamnya ada sebaik-baik penawar terhadap segala masalah yang kita hadapi.

“Kami (Allah) tidak meninggalkan sedikit pun melainkan semuanya ada dalam Al-Quran nul Kareem.”

Carilah panduan di dalam Al-Quran. Kaum Muslimin, ketika berhadapan dengan golongan musyrikin yang bersatu dengan golongan-golongan yang lain yang lebih ramai jumlahnya, apa yang mereka lakukan dalam keadaan tersepit itu? Kita mesti belajar daripada mereka yang tidak terumbang-ambing dengan apa yang berlaku di luar. Mereka berada di atas landasan yang ditetapkan Allah سبحانه و تعالى dan Rasul-Nya. Mereka mengatakan, “Ini adalah yang dijanjikan Allah سبحانه و تعالى.” 

Walaupun dalam keadaan genting, tertekan, hati dan jiwa mereka tidak tertekan, mereka yakin dengan apa yang dijanjikan Allah. Jesteru semakin bertambah iman mereka kepada Allah, walau apa yang belaku di sekeliling mereka. Oleh itu, kita juga perlu menteladani sikap mereka agar tidak terkeluar daripada landasan Al-Quran nul Kareem dengan mengambil sikap atau memberi komentar yang tidak sesuai dengan Al-Quran. Bila berlaku pelanggaran kepada apa yang diajarkan Allah dan Rasul-Nya, pasti akan berlaku hukuman dari Allah سبحانه و تعالى .

//Doa.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab