Konsep Sebenar Jihad - MTDM 28 Ogos 2015 (Bah. 1 - Tafsir)

بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم 

Majlis Ta'lim Darul Murtadza 28.08.2015
Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid* 

Bahagian 1: Tafsir Surah An-Nisa, ayat 77-78


Ayat 77: 

Ayat ini menjelaskan bahawa konsep jihad bukan semangat untuk menuntut hak seseorang yang dizalimi. Ayat ini mengingatkan sahabat Nabi ﷺ yang tertindas, tertekan, dipenjara, disakiti bahkan ada sehingga yang terbunuh semata-mata kerana mereka beriman,  mereka datang minta izin daripada Rasulullah ﷺ untuk mengangkat senjata untuk berperang. Kata mereka, “Kita disakiti, dizalimi..”. Tapi Allah سبحانه و تعالى turunkan ayat ini : “..Tahanlah tangan kamu..”

Yakni jangan angkat senjata selagi ada semangat selain daripada untuk menegakkan kalimah tauhid kepada Allah سبحانه و تعالى, iaitu jangan berjihad kerana sifat asobiyyah (semangat berpuak), memihak kepada bangsa, kabilah atau keturunan atau kerana ingin menuntut hak mereka yang dizalimi. 

Baginda Rasulullah ﷺ ditanya - adakah orang yang keluar angkat senjata kerana hamiyyah (ditindas) atau fanatik untuk mempertahankan kabilahnya itu jihad? Jawab baginda Nabi ﷺ, “Bukanlah jihad di jalan Allah kecuali orang yang keluar untuk menegakkan kalimah ‘Lailahaillallah’.” 

Jihad bukanlah sesuatu yang boleh dimulakan oleh manusia kerana sahabat pernah meminta izin kepada Rasulullah ﷺ tetapi Allah سبحانه و تعالى tidak membenarkan. Ini untuk mendidik mereka bahawa jihad perlu kepada izin daripada Allah سبحانه و تعالى. Jihad tidak cukup dengan semangat, harta, strategi yang rapi tapi perlu izin dari Allah سبحانه و تعالى. Allah سبحانه و تعالى ingin mendidik sahabat supaya tiada kecenderungan hawa nafsu ketika berjihad, tetapi semata-mata kerana Allah سبحانه و تعالى.

Pernah Sayyidina Ali tak jadi bunuh seorang kafir yang meludah mukanya kerana dia takut niatnya membunuh kafir itu bukan lagi kerana Allah سبحانه و تعالى tapi mungkin kerana nafsu marahnya kerana diludahi. Beliau tidak mahu pedangnya digunakan kecuali untuk tujuan Allah سبحانه و تعالى. Para sahabat ialah generasi itu menjadi contoh pada setiap zaman supaya ketika berjihad mesti meninggalkan semua sebab kecuali untuk Allah.

Kata Rasulullah ﷺ - hanya Allah سبحانه و تعالى yang tahu niat seseorang itu berjihad. Ketika melihat seseorang mati di medan perang - sahabat berkata “Dia disyurga”, tapi Rasulullah ﷺ kata “Dia di neraka.” Apabila disuruh sahabat mendekati orang itu ternyata dia ikut berperang untuk mencuri harta orang kafir dan oleh kerana lukanya banyak, dia tak tahan lalu akhirnya membunuh dirinya sendiri.

Oleh sebab itu jangan terlalu mudah untuk ikut orang yang angkat bendera jihad. Kita tidak tahu ada motifnya, tapi peliknya ramai yang orang ikut. Tidak tahukan bahawa dalam Sahih Bukhari, Rasulullah ﷺ  menyatakan bahawa:

Ada 3 golongan yang akan disoal Allah سبحانه و تعالى:
1 Orang berilmu yang mengajar kerana pujian orang. Apabila ditanya, katanya dia mengajar kerana Allah. Tapi Allah kata, “Kamu berdusta, kamu mengajar untuk dipuji orang dan orang pun dah puji kamu..” Malaikat pun kata dia tipu dan akhirnya dihumban ke dalam neraka. Begitu juga dengan orang yang baca Quran kerana ingin pujian. Apabila ditanya, katanya dia baca kerana Allah. Tapi Allah kata, “Kamu berdusta, kamu mengaji untuk dipuji orang dan orang pun dah puji kamu..” Malaikat pun kata dia tipu dan akhirnya dihumban ke dalam neraka. Ada orang diakhirat nanti akan diletakkan ‘ar-raha’** di lehernya (seperti alat yang diletak di leher haiwan ternak untuk haluskan gandum). Lalu dia berteriak-teriak dan orang lalu lihat kepada dan ingat kepadanya. Orang pun tanya kenapa dia di situ kerana dia banyak memberi nasihat, dan jawabnya, “Aku suruh kamu buat tapi aku tak buat, dan aku suruh kamu tinggalkan, tapi aku tak tinggalkan.”
2 Orang yang berjihad di jalan Allah. Apabila ditanya, katanya dia jihad kerana Allah. Tapi Allah kata, “Kamu berdusta, kamu jihad supaya orang kata kamu berani dan orang pun dah puji kamu.” Malaikat pun kata dia tipu dan akhirnya dihumban ke dalam neraka.
3 Orang yang suka bersedekah tetapi juga sebenarnya kerana ingin pujian orang.Manusia pun sudah memujinya dan dia akirnya dimasukkan ke neraka.
Jaga amalan perbuatan kamu semua - amal intipatinya niat - itu yang dinilai Allah سبحانه و تعالى. Zahir orang yang nampak, tapi isi hati ialah apa yang dipantau Allah سبحانه و تعالى

Dalam Al-Quran bila diingatkan tentang konsep jihad, ianya bukan dengan dasar kecenderungan dan  keinginan saja tanpa mematuhi kepada Allah سبحانه و تعالى. Yang berjihad, kalau niatnya bukan lillahi Taala (kerana Allah Taala), tiada nilai dan tiada ganjaran syuhada disisi Allah سبحانه و تعالى.

Oleh itu bilamana ingin berjihad mesti memastikan matlamat dalam jihad itu, tidak cukup hanya dengan mengangkat bendera. Tidak cukup dengan seorang saja pegang mikrofon, “Ayuh kita pergi jihad!”. Atau lebih canggih lagi diletak ‘form’ untuk berdaftar di internet. Siapa yang letakkan itu? Apa motifnya? Dia (kita) pun tidak tahu. Jihad mesti dengan matlamat, tidak cukup dengan semangat saja. Jangan mudah ikut orang yang laung dan bawa nama jihad.

Allah mendidik sahabat dan kita semua bahawa bilamana mereka minta jihad - Allah suruh tahan, tunggu izin dari Allah, walaupun mereka dizalimi, ditekan. Supaya tiada kecendurungan dalam hati ini untuk menjalankan agama Allah hanya bermotifkan hawa nafsu. Sepertimana Sayyidina Ali enggan membunuh di kafir kerana ada unsur hawa nafsu.

Sabda Rasulullah ﷺ,“Tidak sempurna iman kamu sehingga hawa nafsu kamu (kecenderungan, keinginan) sesuai dengan ajaran yang aku bawa.”

Bukan perkataan saja, atau perbuatan saja tapi hawa nafsu, kecenderungan, keinginan, hasratnyam azamnya, niatnya, yang didalam tu, belum lagi perkataan, perbuatan, kena sesuai dengan ajaran Rasulullah ﷺ - baru akan mendapat kesempurnaan iman yang sebenar.

Ini bahagian daripada ‘Tarbiyyah Imaniyyah’ - Pendidikan keimanan supaya bilamana seseorang ingin tuntut apa yang menjadi haknya, mesti mengikut apa yang diajarkan Allah سبحانه و تعالى. Bukan setiap orang yang dizalimi boleh angkat senjata kepada orang yang menzaliminya. 

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat". 

Tidak boleh angkat tangan (senjata), jadi nak buat apa? Dirikan solat, yakni perbaiki, mesrakan hubungan dengan Allah سبحانه و تعالى, dekatkan hubungan dengan Allah, ketika susah, tertekan kembali kepada Allah سبحانه و تعالى. Jangan bergantung pada kekuatan diri sendiri. Ada Tuhan yang mengawal, memerintah kepada kamu. Ada Tuhan yang menjadikan musuh itu berjaya menyakiti dan menindas kamu sebagai dugaan daripada Tuhan kepada kamu.

Berapa lama Firaun menindas Bani Israel? Cukup lama, ramai yang dibunuh. Tapi adakah Allah perintahkan Nabi Musa angkat senjata kepada Firaun? Tidak. Tapi Allah berfirman, “Sabar, ini bumi milik Allah.” Yakni bukan Mesir saja milik Allah dan Firaun hanya berkuasa di situ. Allah akan bagi kepada siapa saja walaupun dia Firaun. Tapi adakah Firaun beruntung dalam hal ini? Firman Allah:
“Dan yang beruntung ialah orang-orang yang bertaqwa.” Walaupun Firaun mentadbir dunia, tapi kalau tak bertaqwa, kerajaan yang dimilikinya tiada manfaat bagi dirinya. Yang baik di sisi Allah, walaupun tidak mentadbir bumi ialah orang yang bertaqwa.

"Tunaikan solat, tunaikan zakat.."
Solat hubungan kita dengan Allah سبحانه و تعالى, dan zakat hubungan kita dengan manusia. Walaupun sedang dizalimi, disakiti, tetapi Allah perintahkan untuk perbaiki hubungan dengan Allah سبحانه و تعالى dan manusia. Jangan dengan dasar kamu dizalimi, segala tindakan yang salah kamu lakukan. Jangan dengan dasar kamu disakiti, segala perbuatan yang haram kamu akan langgar. La (Tidak). Jadilah hamba yang taat kepada Allah, bukan taat kepada keadaan. Orang yang menjadi hamba kepada keadaan akan berubah sikapnya bergantung kepada perubahan keadaan. Orang yang mudah terpengaruh dengan kondisi dan situasi akan menjadi hamba kondisi dan situasi. Bila orang buat baik, dia buat baik, tapi bila orang buat yang haram, dia buat yang haram juga. Pasal apa? Menjadi hamba kepada keadaan. Tapi orang yang menjadi hamba Allah سبحانه و تعالى, walau dalam keadaan apa pun - suka, duka, dia akan tetap mematuhi perintah Allah سبحانه و تعالى , dan tidak akan berganjak daripada landasan yang ditetapkan Allah dan Rasul-Nya. 

Allah سبحانه و تعالى berfirman yang bermaksud, “Bersegeralah meraih pemberian, keampunan Allah dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi..”

Siapa mereka? Orang yang berinfaq dalam keaaan senang dan susah. Orang mudah berinfaq dalam keadaan senang tapi berat dalam keadaan susah. Ini untuk menunjukkan kestabilan seseorang untuk patuh pada Allah سبحانه و تعالى - ketika susah kembali kepada Allah dengan sabar, tidak menjadi hamba kepada keadaan. Keadaan menginginkan seseorang melakukan satu kerusuhan - ikut juga. Tapi seorang mukmin akan guna akalnya. Keadaan yang memaksa saya bertindak ini sesuai dengan Allah dengan Rasul-Nya atau tidak? Bukan keadaan yang menjadi neraca buat kita! Bukan situasi yang menjadi timbangan sikap apa yang kita perlu ambil? Jika begitu, sikap kita akan berubah mengikut situasi - jika angin ke barat ke barat, angin ke Timur, ke Timur. Rasulullah ﷺ melarang kita menjadi Pak Turut - kalau orang baik, kita baik, kalau orang tak baik, kita ikut tak baik juga. Mesti ada prinsip, pegangan kukuh yang tidak berubah iaitu perintah Allah dan Rasul-Nya. Fahimtum?

Sampai peringkat fitnah yang berlaku di akhir zaman memaksa orang-orang yang berpegang pada jalan agama seumpama orang yang menggenggam bara api. Fitnah ini mencabar aqidah seseorang sehingga untuk selamat, dia perlu pergi ke hujung bandar dengan membawa kambing sebagai bekalan, dan hidup dengan meminum susu daripada kambingnya sehinggalah ajal menjemputnya. Ini demi menyelamatkan agamanya. 

Sayyidina Abu Dzar bertanya pada Rasulullah ﷺ jika berlaku fitnah dan fitnah itu bawa kepada permusuhan, dan peperangan dan pembunuhan, apa yang patut dilakukan. Jawab Rasulullah ﷺ, “Duduk di rumah.” Yakni jangan terlibat dengan fitnah. Nak buat apa di rumah? “Patahkan pedang.” Kenapa? Supaya tak terpanggil untuk menyertai yang lainnya, dan terlibat membunuh kepada muslim lain. Kemudian, Rasulullah ﷺ juga menyuruh, “Patahkan busur panah, dan potonglah talinya”, supaya tiada peluang untuk bunuh kepada muslim lain - tidak dengan pedang atau panah. Yang akan mengajak untuk menyertai fitnah itu nanti adalah orang Muslim juga. Kata Abu Dzar, “Kalau orang itu masuk ke rumah dan paksa kami juga?” Rasulullah ﷺ suruh pegang tangan dan katakan, “Tuhan aku Allah” berulang kali. “Kalau kamu akan terbunuh macam mana?” tanya Abu Dzar lagi. Jawab Rasulullah ﷺ, “Jadilah kamu seperti yang lebih baik daripada anak Nabi Adam.” Siapa itu? Itulah Habil yang mengatakan, “Engkau hulurkan tanganmu untuk bunuh aku, tapi aku takkan menghulurkan tanganku untuk bunuh kamu. Aku takut pada Allah.”

Habil ketika itu ingin dibunuh oleh Qabil tapi dia tak mahu terlibat untuk menumpakan darah orang Islam. Pendaftaran di internet yang disebarkan itu adalah untuk menumpahkan darah orang Islam. Jadilah seperti Habil. 

Ketika diwajibkan perang kepada mereka, sebahagian daripada mereka takut kepada manusia seperti takut kepada Allah, bahkan lebih lagi. Sebelumnya mereka minta izin untuk perang, tapi kemudian dipersoalkan pula perintah Allah سبحانه و تعالى. Oleh sebab itu, jiwa/nafsu/ruh perlu dididik sebelum masuk ke medan peperangan untuk terima perintah Allah سبحانه و تعالى. Ini telah berlaku kepada Bani Israel - mereka minta perang, dan bila diwajibkan, mereka bertanya semula kenapa pula diwajibkan perang kepada mereka. Manusia sifatnya adalah berubah-ubah. Nak sesuatu tapi bila diberi nak yang lain pula! 

“Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?"
Yakni mereka tak mahu mati dalam perang. Mereka nak mati dengan ajal yang telah Allah tetapkan, seoalah-olah ada 2 ajal - ajal dalam perang dan ajal bukan dalam perang, sedangkan itu asbab sahaja. Mati itu satu, cuma asbabnya berbeza-beza. Berapa ramai orang masuk berjihad tapi tidak mendapat syahid. Contohnya ‘Saifullah’ -Sayyidina Khaled Al-Waled, katanya, “Aku ikut 100 perang tapi aku sekarang berada di atas katilku dan akan mati seperti mana matinya unta.” Allah سبحانه و تعالى mengkehendaki dia mati di atas katilnya. Apa hikmahnya? Saifullah ertinya Pedang Allah سبحانه و تعالى - jadi kalau beliau terbunuh di medan perang, orang akan katakan Pedang Allah sudah patah. Jadi beliau meninggal di katil demi mempertahankan gelaran yang Rasulullah ﷺ berikan kepadanya. Kalau Pedang Allah patah, orang akan kata kekuasaan Allah boleh dipatahkan sedangkan Kekuasaan tiada yang boleh melawannya.

Jadi orang yang ikut perang untuk mencari mati (syahid) tidak mendapatnya, dan orang yang tidak masuk ke perang pun mati akan menemuinya. “Di mana saja kamu berada kamu berada, kematian mengejar kamu.” Katakan wahai Rasulullah ﷺ, kematian yang kamu lari daripadanya, akan datang kepada kamu. Yakni kematian akan mendatangi kita, bahkan kematian akan mengejar kepada kita, walau di mana saja kita berada.

Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu".
Ayat ini turun kepada golongan Munafiqin yang bila menang akan berkata itu kuasa Allah, tapi bila kalah akan menisbahkan kepada Rasulullah ﷺ. Perangai Yahudi pun demikian. Kalau datang kepada mereka kebaikan - mereka akan kata itu dari Allah dan mereka layak menerimanya, tapi bila mendapat musibah, mereka akan menyalahkan Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa pun disalahkan. Inilah perangai Yahudi dari dulu dan sehingga kini. Ini beza orang yang dididik dengan iman dan orang yang tidak beriman.

Seorang sahabat Rasulullah ﷺ bernama - Saad ibnu Rabi’. Dalam satu peperangan yang kaum Muslimin mengalami kekalahan. Rasulullah ﷺ berkata, “Siapakah antara kamu yang boleh mencari khabar tentang Saad ibnu Rabi’?” Saad ibnu Rabi’merupakan salah seorang naqib yang Rasulullah ﷺ pilih dalam perjanjian Aqabah. Jawab seorang sahabat lain, “Ana, Ya Rasulullah.” Lalu dicari dan dijumpai dia dalam keadaan tenat kerana cedera teruk. Saad ibnu Rabi’ pun bertanya apa yang diingini sahabat yang mencarinya. Sahabat itu mengatakan yang Rasulullah ﷺ mencarinya. Saad ibnu Rabi’ berpesan untuk menyampaikan Salam kepada Rasulullah ﷺ. Dia berkata, “Telah kena kepada aku 12/17 tusukan kepada tubuh badan aku, dan aku berada pada penghujung kehidupanku. Sampaikan Salam aku kepada Rasulullah ﷺ, semoga Allah memberi ganjaran baik kepada Rasulullah ﷺ dengan sebaik-baik ganjaran yang diberikan Allah kepada Nabi yang berkhidmat untuk umatnya.” 

Dalam keadaan nazak pun Saad ibnu Rabi’ masih menyampaikan Salam kepada Rasulullah ﷺ. Ini perbezaan orang yang dididik dengan keteguhan iman berbanding dengan orang munafiq/Yahudi yang menyalahkan Rasulullah ﷺ. Saad ibnu Rabi’ masih berterima kasih kepada Rasulullah ﷺ walaupun dalam keadaan tenat, nazak. Sambungnya lagi, “Sampaikan kepada kaumku, jangan sampai ada seorang pun menyakiti kepada Rasulullah ﷺ sementara mereka masih ada mata yang berkedip.” Subhanallah, dalm keadaan nazak, tiada kekuatan pun, Saad ibnu Rabi’ masih sampaikan salam, ucap terima kasih bahkan berpesan pada kaumnya untuk tidak menyakiti Rasulullah ﷺ. 

Tarbiyyah yang bagaimana yang dilakukan Rasulullah ﷺ sehingga para sahabat mudah menyerahkan benda paling berharga dalam hidup iaitu nyawanya sendiri berbanding kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ? Jiwa kecintaan seperti ini yang perlu hidup dalam umatnya Rasulullah ﷺ di zaman kita sekarang. Rasa perngorbanan yang dalam terhadap kecintaan kepada Rasulullah ﷺ yang mesti menyala dalam sanubari kita umatnya. Ini mesti sentiasa wujud, baru tujuan jihad itu nampak jelas untuk menegakkan apa yang dibawa baginda Rasulullah ﷺ. 


Allah menjawab tohmahan mereka kaum munafiqin dan Yahudi:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

Apa makna semua yang baik dan buruk datang daripada Allah? Kita akan bahas pada kelas akan datang, InshaAllah.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal (darulmurtadza.com) untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab